155- Berapakah cabang-cabang Iman?
Firman Allah Ta'ala (al-Baqarah 2:177):
لَيْسَ الْبِرَّ أَنْ تُوَلُّوا وُجُوهَكُمْ قِبَلَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ وَلَكِنَّ الْبِرَّ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالْكِتَابِ وَالنَّبِيِّينَ وَآتَى الْمَالَ عَلَى حُبِّهِ ذَوِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينَ وَابْنَ السَّبِيلِ وَالسَّائِلِينَ وَفِي الرِّقَابِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَالْمُوفُونَ بِعَهْدِهِمْ إِذَا عَاهَدُوا وَالصَّابِرِينَ فِي الْبَأْسَاءِ وَالضَّرَّاءِ وَحِينَ الْبَأْسِ أُوْلَئِكَ الَّذِينَ صَدَقُوا وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُتَّقُونَ (البقرة: 177)
Maksudnya: Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta, dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan memnunaikan zakat, dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya) dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
Sabda Rasulullah s.a.w.: Iman itu enam puluh lebih cabang.
Dalam riwayat lain: Tujuh puluh lebih cabang. Cabang yang tertinggi ialah menyebut 'Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah' dan cabang yang terendah ialah mengalihkan perkara yang menyakitkan dari jalan. Rasa malu itu ialah satu cabang dari Iman.
156- Apakah huraian para ulamak terhadap cabang-cabang ini?
Sebahagian daripada mereka telah menghitungnya semasa mensyarahkan hadith ini dan ada juga yang telah mengarang kitab berkenaan cabang-cabang ini. Akan tetapi perlulah diketahui bahawa mengetahui cabang-cabang ini bukanlah syarat dalam iman. Sebaliknya cukuplah dengan beriman secara umum terhadap semua cabang-cabang itu. Ianya tidak keluar dari al-Quran dan al-Sunnah. Jadi hendaklah seseorang hamba itu mematuhi perintah-perintah al-Quran dan al-Sunnah, menjauhi larangan-larangannya dan membenarkan berita-beritanya. Dengan itu dia telah menyempurnakan cabang-cabang iman. Perkara yang dihitung oleh sebahagian para ulamak itu adalah termasuk dalam cabang-cabang iman akan tetapi agak sukar untuk memastikan bahawa itulah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadith lalu kerana penentuan itu memerlukan dalil.
157- Nyatakan secara ringkas apa yang telah mereka hitungkan:
Al-Imam al-Hafiz Ibnu Hajar telah menyatakan dalam bukunya Fathul Bari ringkasan kenyataan al-Imam Ibnu Hibban bahawa:
Sesungguhnya cabang-cabang Iman ini terbahagi kepada tiga iaitu amalan hati, amalan lisan dan amalan anggota badan.
Adapun amalan anggota hati maka ianya ialah kepercayaan-kepercayaan dan niat-niat. Ianya terbahagi kepada 24 cabang:
1- Beriman dengan Allah yang merangkumi beriman dengan zatNya, sifat-sifatNya dan pengesaanNya bahawa Allah itu (al-Syuuraa 42:11):
Maksudnya: Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia, dan Dialah yang Maha mendengar lagi Maha melihat.
Juga kepercayaan bahawa selainNya adalah baru.
2- Beriman dengan para malaikat.
3- Beriman dengan kitab-kitab.
4- Beriman dengan para rasul.
5- Beriman dengan al-qadar yang baik dan buruk.
6- Beriman dengan Hari Akhirat yang merangkumi: persoalan dalam kubur, kebangkitan, hisab, mzan, sirat, syurga dan neraka.
7- Cinta kepada Allah Ta'ala dan cinta dan musuh kerana Allah.
8- Cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan mempercayai keagungannya yang merangkumi selawat ke atas Baginda dan mengikut sunnahnya.
9- Ikhlas (penyucian) yang merangkumi peninggalan riya' dan nifaq.
10- Taubat.
11- Takut.
12- Harap.
13- Syukur.
14- Sempurna janji.
15- Sabar.
16- Redha dengan al-qada'.
17- Tawakal.
18- Rahmat.
19- Tawadhu' (rendah diri) yang merangkumi: menghormati orang yang lebih tua dan menyayangi orang yang lebih muda.
20- Meninggalkan rasa besar diri.
21- Meninggalakn rasa takjub.
22- Meninggalkan hasad.
23- Meninggalkan dengki.
24- Meninggalkan rasa marah.
Adapun amalan lisan maka ianya merangkumi 7 cabang:
1- Melafazkan tauhid.
2- Membaca al-Quran.
3- Mempelajari ilmu dan mengajarnya.
4- Berdoa.
5- Berzikir.
6- Beristighfar.
7- Menjauhi kata-kata kosong.
Adapun amalan anggota badan maka ianya merangkumi 38 cabang:
a. Yang berkaitan dengan setiap individu (15 cabang):
1- Bersuci secara zahir dan batin.
2- Memberi makan.
3- Menghormati tetamu.
4- Puasa fardhu.
5- Puasa sunat.
6- Iktikaf.
7- Mencari malam al-Qadar.
8- Haji.
9- Umrah.
10- Tawaf.
11- Lari menjaga agama.
12- Hijrah meninggalkan negeri syirik.
13- Menyempurnakan nazar.
14- Berjaga-jaga dalam Iman.
15- Menunaikan kaffarat (penghapus dosa).
b. Yang berkaitan dengan orang yang rapat (6 cabang):
1- Nikah.
2- Menjaga keluarga.
3- Berbakti kepada 2 ibu bapa dan tidak derhaka kepada 2 ibu bapa serta mendidik anak.
4- Merapatkan hubungan kekeluargaan.
5- Taat kepada tuan.
6- Berlembut dengan hamba.
c. Yang berkaitan dengan orang awam (17 cabang):
1- Mendirikan pemerintahan dengan adil.
2- Mengikuti jamaah.
3- Taat pemerintah.
4- Mendamaikan antara manusia dan memerangi khawarij dan pemberontak.
5- Membantu dalam kebaikan dan memerintah kepada kebaikan dan melarang dari kemungkaran
6- Mendirikan hudud.
7- Jihad dan menjaga sempadan.
8- Menunaikan amanah dan menunaikan seperlima harta rampasan perang
9- Meminjam dan memulangkan.
10- Menghormati jiran.
11- Berurusan dengan baik dan mengumpulkan harta yang halal.
12- Menginfaqkan harta di jalan yang benar dan tidak membazir.
13- Menjawab salam.
14- Mendoakan orang bersin.
15- Tidak memudharatkan orang.
16- Menjauhkan diri dari perkara sia-sia.
17- Membuang perkara yang menyakitkan dari jalan.
Ini semua berjumlah 69 cabang dan boleh dijadikan 77 sekiranya diasingkan perkara-perkara yang telah dikumpulkan. Allah sahaja yang lebih mengetahui.
No comments:
Post a Comment